Menu Close

Hak Milik Tanah: Perbezaan Antara Freehold Dan Leasehold

freehold picture

Gambar oleh Yusof Mat Isa/malaymail.com

“Unit ni kategori leasehold, sebab tu murah sikit”

“Baik beli yang freehold, selamat sikit”

Selain daripada harga, fasiliti dan lokasi, jenis hak milik tanah juga merupakan antara elemen pengiklanan yang sering diketengahkan oleh penjual hartanah.

Antara jenis-jenis hak milik tanah yang popular ialah pajakan dan pegangan bebas.

Ini adalah perbezaan yang perlu anda tahu antara freehold dan leasehold.

Pegangan bebas (Freehold)

Hartanah jenis ini merupakan yang paling digemari oleh kebanyakkan orang meskipun kebiasaannya harganya agak mahal sedikit berbanding leasehold.

Hal ini kerana, hartanah jenis ini mempunyai potensi nilai jualan semula, pulangan sewa yang lebih tinggi dan peningkatan nilai modal.

Selain itu, ianya menjadi pilihan kerana ramai beranggapan bahawa hartanah tersebut adalah kekal menjadi milik mereka dan generasi seterusnya untuk selama-lamanya.

Namun begitu, sebenarnya tahukah anda, kerajaan masih lagi berhak untuk menuntut hartanah anda mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 tanpa mengira status tanah sama ada freehold atau leasehold.

Dalam Akta Pengambilan Tanah 1960, kerajaan boleh mengambil tanah tersebut walaupun anda tidak bersetuju untuk beberapa tujuan seperti pembangunan ekonomi dan kemudahan awam.

Pemilik tersebut akan dipaksa untuk menjual hartanah mereka kepada pihak kerajaan mengikut harga pasaran yang ditentukan oleh seorang penilai profesional yang dilantik oleh pihak kerajaan. Proses ini dikenali sebagai pengambilan paksa (forced acquisition).

Pegangan Pajakan (Leasehold)

Pegangan pajakan merujuk kepada hartanah yang dibina atas tanah yang disewa atau dipajak daripada pihak kerajaan. Mudah kata, tanah tersebut masih lagi dimiliki oleh kerajaan, bukannya milik anda.

Kebiasaannya, tempoh pajakan paling lama dibenarkan ialah selama 99 tahun tetapi ada juga sesetengah pembangunan baru memperoleh tempoh melebihi 100 tahun. Manakala, tempoh pajakan paling pendek adalah 30 tahun.

Apabila tempoh pajakan tamat, pemilik hartanah perlu membayar sejumlah premium bagi melanjutkan semula tempoh pajakan.

Jumlah premium adalah bergantung kepada jenis hartanah sama ada pertanian, komersial atau kediaman. Permohonan tersebut perlu dibuat di Pejabat Tanah.

Sekiranya pihak kerajaan mempunyai rancangan pembangunan di tanah tersebut, maka pihak kerajaan boleh memutuskan untuk menolak permohonan melanjutkan tempoh pajakan hartanah tersebut.

Hartanah jenis ini merupakan yang antara paling kurang digemari oleh kebanyakkan orang kerana mereka beranggapan ianya agak leceh dan merumitkan.

 

Kini anda sudah tahu apa beza antara pegangan bebas dan pegangan pajakan. Tidak kira jenis hak milik tanah apa sekalipun, yang penting ialah pastikan anda membeli hartanah mengikut keperluan dan kemampuan anda.

Kongsi Melalui:

Related Posts