Menu Close

Nutella, Ferrero Rocher: Kisah coklat menjadikan manusia terkaya di Itali

nutella picture

Gambar oleh piedmontdelights.com

“Bestnya kalau dapat hadiah jambangan coklat Ferrero Rocher..”

Siapa je tak kenal dengan coklat bulat yang dibalut dengan pembungkus bewarna keemasan?

Jambangan bunga ros dan coklat Ferrero Rocher / Sumber : psfloralatelier.com

Membuka pembalut sahaja pun dah rasa cukup ekslusif, belum lagi saat mengigit kacang hazel yang disulami dengan rasa pahit manis coklat seperti Nutella…

Tahukah anda, syarikat pembuat coklat Ferrrero Rocher dan Nutella ini merupakan taikun industri konfeksionari ke-2 terbesar di dunia selepas Mars Wrigley Confectionery, sekaligus menjadikannya sebagai orang terkaya di Itali?

Ini merupakan kisah coklat kegemaran ramai yang dimiliki oleh Ferrero Group.

Diasaskan semasa perang dunia kedua

Kisah bisnes coklat keluarga ini bermula pada tahun 1933 apabila Pietro Ferrero membuka sebuah kedai roti di Turin, sebuah bandar di Piedmont Itali. Beliau merupakan anak kepada seorang petani dan nekad untuk mengubah kehidupan keluarganya ke arah yang lebih baik.

Pada awalnya, beliau merancang untuk menjual kek Pannettone kepada tentera Itali yang ditempatkan di  Asmara, ibu kota Eritrea. Ketika itu, Eritrea sedang dijajah oleh Benito Mussolini.

Sumber : britannica.com

Namun begitu, usaha Pietro gagal dan beliau terpaksa kembali semula ke kampung halaman setelah Perang Dunia ke-2 meletus.

Semasa Perang Dunia ke-2, Itali turut mengalami masalah kekurangan bekalan makanan terutamanya biji koko. Ketika itu, coklat asli sangat mahal dan hanya golongan yang betul-betul kaya sahaja mampu untuk beli.

Jadi, Pierto terpaksa fikir alternatif supaya produknya boleh dinikmati oleh semua golongan.

Gianduja: asal usul Nutella

Gianduja adalah salah satu gula-gula Itali yang paling popular / Sumber : eataly.com

Pietro mencampurkan biji koko yang mahal dengan kacang hazel. Kacang hazel tumbuh dengan banyak di Alba, Itali.

Campuran coklat dan kacang dikenali sebagai gianduja dalam dialek tempatan. Ketika itu, gianduja dijual dalam bentuk batu bata untuk dihiris nipis dan dilapik dengan roti.

BOOM!

Gianduja ciptaan Pietro mendapat permintaan ramai.

Pada tahun 1950, beliau mempunyai 200 van dan kemudiannya berkembang sehingga memerlukan 1,000 van bagi menghantar stok ke seluruh Itali.

Produk pertama Pietro Ferrero, bata coklat padat dengan kacang hazel yang dikenali sebagai ‘gianduja’, mendapat permintaan tinggi sehingga beliau memerlukan 200 van (gambar) untuk mengangkutnya ke seluruh Itali pada tahun 1950 / Sumber : dailymail.co.uk

Budaya Inovasi

Pietro sangat menitikberatkan kualiti pembuatan coklatnya. Beliau sering melakukan penambahbaikan resepi bagi memastikan gianduja menepati citarasa orang ramai.

Pada tahun 1957, anak Pietro Ferrero, Michele Fererro mengambil alih bisnes keluarganya itu.

Beliau nak jadikan gianduja lebih mudah dinikmati dan disapu ke atas roti.

Masa tu roti merupakan makanan ruji rakyat marhaen Itali sebab lebih murah dan mudah dibuat.

Michele Ferrero (gambar) mencipta beberapa makanan coklat terkenal di dunia, termasuk Nutella, Kinder dan Ferrero Rocher / Sumber : dailymail.co.uk

Jadi, beliau melakukan inovasi terhadap gianduja dengan menambah gula dan minyak sayuran ke dalam resepi tersebut dan disimpan dalam jar.

Lalu, terhasilah sapuan coklat yang kita nikmati sekarang iaitu Nutella.

Ini merupakan risiko terbesar yang diambil sebab waktu tu belum ada lagi orang yang buat campurkan minyak sayuran ke dalam resepi gianduja.

Keberanian beliau ini membuahkan hasil.

Selain Nutella, Michele juga menambah produk coklat Kinder dan gula-gula Tic Tacs ke dalam senarai ciptaannya.

Sangat perahsia

Seperti Willy Wonka dalam kisah kanak-kanak popular, Willy Wonka & the Chocolate Factory, Michele sangat menitikberatkan privasi dan rahsia resepi syarikat.

Sumber : imdb.com

Bagi beliau, hanya ada dua keadaan sahaja sesebuah akhbar perlu menyebut nama seseorang iaitu pada saat kelahiran dan kematian seseorang itu.

Menurut Franzo Grande Stevens, rakannya, Michele telah berjaya memasukkan menjadikan coklat daripada berbentuk pepejal kepada cecair tanpa mengubah rasa coklat itu.

Ini bukanlah perkara yang mudah untuk dilakukan dan Michele sangat bangga dapat menghasilkan formula seperti itu.

Tetapi beliau risau pesaingnya akan mencuri formulanya sekiranya beliau mempatenkan formulanya itu di Eropah.

Jadi, apa yang Michele buat ialah beliau membuat perjanjian dengan Mesir dan menterjemahkan resepinya ke dalam Bahasa Arab supaya pesaingnya di Eropah sukar untuk membaca dan meniru formula rahsianya ini.

Seorang yang mementingkan bisnes dan family man

Pada tahun 1962, Michele berkahwin dengan setiausaha syarikatnya iaitu Maria Franca Fissolo. Mereka dikurniakan 2 orang anak lelaki, Pietro Ferrero Jr dan Giovanni Ferrero.

Michele Ferrero bersama isteri dan anak-anaknya / Sumber : ideawebtv.it

Kedua-dua anaknya juga sangat gemar bersarapan Nutella setiap hari.

Anak sulungnya, Pietro merupakan pewaris legasi coklat keluarga Ferrero. Michele melatih Pietro untuk sentiasa peka dengan deria bau dan rasa terutamanya ketika berada di kilang coklat mereka.

Tapi malangnya, pada tahun 1970-an yang dipanggil Years of Lead, Michele terpaksa menghantar anak-anaknya ke Brussels.

Ini dilakukan untuk menjamin keselamatan anaknya kerana pada era itu, kebanyakkan anak ahli perniagaan yang kaya di Itali sering menjadi sasaran penculikan dan tebusan oleh mafia dan kumpulan pengganas bersayap kanan.

Kinder Joy: cinta kepada kanak-kanak

Sumber : pix11.com

Pada sekitar tahun 1970-an itu juga, ketika melalui sebuah kedai mainan, Michele tiba-tiba mendapat idea!

Beliau berpendapat sepatutnya kanak-kanak merasai keseronokan hari Easter setiap hari, sebab itu beliau mencipta coklat berbentuk telur yang disertakan sekali dengan mainan percuma, Kinder Joy.

Coklat Ferrero Rocher: simbolik kemewahan abadi

Pada tahun 1980-an, Michele menghasilkan formula coklat Ferrero Rocher. Beliau merupakan seorang penganut Katolik yang taat.

Beliau mendapat ilham daripada Rocher di Roc de Massabielle. Rocher di Roc de Massabielle ialah sebuah gua batu di Lourdes yang sering dikunjunginya setiap tahun bagi melakukan ibadah hajinya.

Sumber : wikipedia.org

Sebagai seorang yang sangat mementingkan kualiti, beliau mengambil masa lebih 5 tahun untuk menyempurnakan produk coklat Ferrero Rochernya ini.

Malah beliau pernah menghentikan seketika penghasilan coklat Ferrero Rocher sebab pelekat bewarna putih tidak berada betul-betul di tengah bulatan coklat.

Sumber : news.italianfood.net

Beribu-ribu pekerja diupah untuk memeriksa secara teliti jika terdapat sebarang keretakan dalam wafer coklatnya itu.

“Saya tidak akan berehat sehingga saya sediakan masa hadapan yang selamat untuk anak-anak anda”

Sumber : cuneo24.it

Michele sangat mementingkan kebajikan pekerjanya. Pekerja dibekalkan dengan pemanas haba dari kilang untuk kediaman mereka, taska di kilang dan rawatan kesihatan percuma seumur hidup.

Pekerja yang sudah bersara menghabiskan hari mereka belajar menari atau pengkomputeran di yayasan yang diasaskan dan dikendalikan oleh Maria Franca.

Kesetiaan pekerjanya menjadikan Ferrero sebagai orang terkaya di Itali, mengatasi Silvio Berlusconi pada tahun 2008.

Pewaris Ferrero Group

Sumber : comunicaffe.com

Pewaris utama Ferrero Group iaitu anak pertama Michele, Pietro Ferrero Jr meninggal dunia pada usia 47 tahun disebabkan oleh serangan jantung semasa sedang berbasikal di Afrika Selatan.

Tempat beliau kini diambil alih oleh anak kedua Michele, Giovanni Ferrero.

 

 

 

 

Kongsi Melalui:

Related Posts