Gambar oleh siraplimau.com
“Kan best kalau hidup bebas hutang, tenang je jiwa…”
“Arghh, peningnya tengok hutang banyak sangat ni!”
“Bila la hutang aku nak settle ni hmm….”
Dalam dunia yang sangat mencabar ni, kita memang perlukan hutang. Tak semua orang mampu untuk beli keperluan asas seperti rumah, kereta secara tunai.
Berhutang tak salah.
Tapi pastikan kita ada strategi untuk membayar hutang dengan baik supaya rekod kewangan nampak cantik dan meyakinkan.
Ini 6 langkah untuk kita bebas hutang menggunakan teknik Snowball.
Apa itu teknik Snowball?
Snowball atau bebola salji ialah strategi untuk membayar hutang. Strategi ini dipopularkan oleh Dave Ramsey, seorang perunding kewangan terkenal Amerika Syarikat.
Snowball ialah teknik menyelesaikan hutang daripada paling kecil kepada paling besar.
Macam mana nak buat teknik Snowball ni?
Langkah 1: Senaraikan semua hutang yang ada.
Langkah 2: Ambil tahu kadar faedah bagi setiap hutang tersebut.
Langkah 3: Semak tarikh akhir bayaran bagi hutang. Ini untuk mengelakkan dikenakan denda lewat bayar.
Langkah 4: Pilih hutang yang paling kecil. Tambahkan bayaran bagi hutang itu. Contoh hutang kereta RM 450. Bayar RM 500 (lebih RM 50).
Langkah 5: Selepas hutang pertama selesai, pilih hutang kedua paling kecil. Contoh pinjaman peribadi RM 200 sebulan. Bayar RM 200 + RM 500 (hutang kereta yang sudah langsai tadi). Jadi pinjaman peribadi akan dibayar RM 700 sebulan.
Langkah 6: Ulang langkah 4 dan 5 bagi setiap hutang yang berada dalam list sehingga bebas hutang.
Berkesan ke teknik ni?
Menurut pakar psikologi, teknik Snowball ini boleh memberikan impak positif yang dikenali sebagai Snowball Effect terhadap psikologi manusia.
Dengan menggunakan teknik snowball, seseorang itu lebih bermotivasi kerana berjaya memperoleh ‘kemenangan kecil’.
Hal ini kerana, di saat seseorang itu berjaya menghapuskan satu hutang kecilnya, dia akan lebih semangat untuk menyelesaikan baki hutangnya yang lain untuk memperoleh ‘kemenangan besar’ pula.
Bebas hutang bukan lagi suatu perkara yang mustahil.