Gambar oleh NSTP/AIZUDDIN SAAD
Rumah merupakan salah satu keperluan asas manusia. Tapi, bila kita tengok harga rumah je, mak aih boleh pengsan dibuatnya. Harga rumah mencecah beratus-ratus ribu ringgit. Ada yang sampai berjuta-juta ringgit harganya. Terus kita lupakan hasrat untuk miliki kediaman pertama.
Akhirnya, apa yang kita buat? Kita terus beli kereta mahal je sebab lebih mudah buat pinjaman berbanding pinjaman perumahan. Kita fikir hutang kereta pun paling lama 9 tahun je, kalau rumah hutang 30 tahun.. tapi kereta susut nilai tinggi.. hmmmm..
Nak tau tak, sebenarnya ada strategi untuk mudah beli rumah ni. Ini 7 strategi yang kita boleh aplikasikan untuk beli rumah pertama kita:
1. Belajar ilmu hartanah.
Semakin banyak ilmu hartanah kita belajar, semakin rendah potensi kita buat kesilapan besar semasa pilih hartanah yang sesuai.
2. Semak kelayakan
Beli rumah ikut kemampuan semasa kita. Kalau boleh, pilih rumah yang jauh lebih murah daripada yang kita layak supaya kita ada duit lebihan dan juga rumah.
3. Sediakan deposit
Belajar menyimpan dengan lebih awal untuk target duit deposit rumah. Kalau boleh menyimpan sewaktu zaman belajar pun tak mengapa, supaya lebih mudah kita membuat keputusan untuk beli rumah semasa sudah mula bekerja kerana tabung simpanan sudah lama ada.
4. Tangguh buat pinjaman peribadi/ASB Financing
Tangguh dulu keinginan untuk buat pinjaman peribadi/ASB financing kalau hanya kerana terikut-ikut dengan trend berhutang untuk majlis perkahwinan yang mewah. Mempunyai istana selesa lebih penting daripada menjadi raja sehari yang gah.
5. Jaga rekod hutang CCRIS
Bayar hutang pelajaran seperti PTPTN, kad kredit dengan konsisten setiap bulan supaya kita ada rekod bayaran hutang yang cantik. Barulah bank percaya untuk bagi kita pinjaman perumahan sebab bank tengok kita mampu bayar hutang berdasarkan rekod yang cantik sebelum ini.
6. Cantikkan Debt Service Ratio (DSR)
Kereta yang mahal merupakan antara sebab utama golongan muda tak lulus pinjaman perumahan. Cuba elakkan beli kereta yang mahal sehingga 50% gaji kita semasa mula bekerja supaya DSR kita melepasi syarat untuk beli rumah.
7. Mula beli kediaman kecil dahulu
Target untuk beli kediaman yang kecil dahulu untuk belajar beli kediaman pertama kita. Bila dah berjaya beli rumah pertama, baru kita akan biasakan diri dengan “trick” beli rumah idaman kita yang lebih besar. Kalau nak tunggu beli rumah impian sebesar istana, memang sampai ke sudah kita akan hanya menyalahkan kapitalis kerana buat harga rumah mahal sangat, tapi gaji tak naik-naik.
Sebagai rakyat marhaen, kita tak mampu nak kawal harga pasaran rumah. Jadi apa yang kita boleh cuba lakukan ialah kita cantikkan akaun kita supaya bank mudah percaya untuk bagi kita pinjaman perumahan. Berhenti mengeluh, sediakan rumah untuk berteduh.