Menu Close

Kenanga: Ini Cerita Wanita Melayu Pertama Dalam Broker Saham

kenanga picture

Gambar oleh thepeak.com.my

Jika anda seorang pelabur saham, pasti anda biasa dengar broker Kenanga.

Tahukah anda, pengasas bersama Kenanga Investment Bank Berhad, Tengku Dato’ Paduka Noor Zakiah Tengku Ismail merupakan wanita melayu pertama yang terlibat dalam pembrokeran saham (stockbroker)?

Siapa Tengku Dato’ Paduka Noor Zakiah?

Tengku Dato’ Paduka Noor Zakiah merupakan kerabat diraja Kelantan dan mempunyai talian persaudaraan dengan Sultan Patani yang terakhir, Sultan Abdul Kadir Kamarudin Syah.

Gambar Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah Sultan Sulaiman Shariff Alauddin

Tengku Dato’ Paduka Noor Zakiah dilahirkan pada tahun 1926, di Estet Menkebang (Kebun Raja), Kuala Krai, Kelantan. Merupakan seorang ibu tunggal dengan 7 orang anak, 18 cucu dan 6 cicit.

Beliau ialah anak perempuan kepada pengurus harta tanah, broker saham wanita perintis pertama, wanita pertama yang diterima oleh Bursa Malaysia Securities dan ahli wanita pertama di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Mula berniaga sejak kecil

Walaupun hidup sebagai keturunan kerabat, namun hidup beliau bukanlah seindah yang disangka.

Hidup pada zaman dunia sedang berdepan dengan Perang Dunia Kedua bukanlah suatu perkara yang mudah.

Memetik kata-kata beliau semasa temubual bersama akhbar The Star;

“Saya hanya berada di sekolah berasrama selama dua tahun. Saya berhenti kerana Perang Dunia II telah merebak ke kawasan kami. Nasib saya baik kerana kebetulan pada hari saya pulang dengan kereta api ke rumah, pada keesokan harinya – serangan ke atas Tanah Melayu bermula.

“Tidak lama kemudian, kami dapat tahu bahawa Jepun bukan sahaja menyerang Pearl Harbor – mereka juga mendarat di pantai-pantai di Kota Bharu.”

Penjajahan Jepun menandakan keruntuhan pemerintahan kolonial Inggeris secara dramatik di Tanah Melayu
Sumber: Arkib Negara Malaysia 1999 / 0000423g1

Sejak umur 7 tahun lagi, beliau sudah menunjukkan minat yang mendalam terhadap dunia keusahawanan.

Beliau mengambil upah menjahit pakaian dan menjual bunga KENANGA yang mudah didapati di estet bapanya.

Anak pokok kenanga. Sumber: kebuna.com

Minat fesyen

Tengku Dato’ Paduka Noor Zakiah sangat meminati fesyen. Beliau banyak membelek keratan akhbar yang menampilkan halaman fesyen.

“Terpesona dengan pakaian yang cantik-cantik di halaman fesyen. Saya mula memotong muka surat tersebut dan jadikan sebagai rujukan supaya saya dapat belajar lebih lanjut. ”

“Hasil jahitan pakaian diterima dengan baik oleh kawan-kawan dan saudara-mara saya. ”

Antara koleksi jahitan beliau. Sumber: thefullfrontal

Beliau juga merupakan seorang pemotong kain yang terlatih, pelukis dan tukang jahit. Beliau gemar mereka bentuk barangan kemas dan batu permata berharga.

“Zaman remaja saya dan awal 30-an, saya mempunyai butik, salon kecantikan serta kedai seni dan kraf. Saya benar-benar seronok untuk terlibat dengan penganjuran pameran fesyen bagi tujuan kutipan kebajikan pihak badan amal di Kota Baru dan Kuala Lumpur.”

Pada tahun 1960-an, beliau membuka perniagaan kedai pakaiannya yang dipanggil Silver & Silk.

Pembabitan Awal dalam Bidang Pelaburan

“Tetapi apabila saya menemui dunia broker saham, aktiviti berkaitan fesyen dan perhiasan bertukar menjadi sekadar hobi saya.”

Pada tahun 1960-an, seorang rakan broker sahamnya membantu beliau untuk membeli saham Esso dan Shell di Bursa Saham Malaya.

Beliau bertanyakan kepada rakan brokernya itu sambal bergurau;

”Anda fikir adakah saya dapat melakukan apa yang anda buat?”

Rakan brokernya itu menjawab;

“Sudah tentu!”

Pada ketika itu, Tengku Dato’ Paduka Noor Zakiah mula memikirkan secara serius untuk terlibat dalam pembrokeran saham.

Bukan lagi sebagai “pelanggan”, tetapi sebagai “penjual”.

Tidak lama kemudian, dia mendapat tahu bahawa Hallam & Co, salah satu broker yang tertua di Malaysia, berada di pasaran.

Setelah mengumpulkan konsortium dengan 6 rakan kongsi, beliau berunding dengan Bank Negara Malaysia dan membuat permohonan untuk pembelian firma broker tersebut pada tahun 1963.

Enam bulan kemudian, permohonan itu diluluskan dan beliau mendapat lesen broker sahamnya.

Ini menjadikan beliau sebagai rakan kongsi wanita melayu pertama dalam firma pembrokeran saham, Hallam & Co pada tahun 1964 sehingga 1971.

Cap jari beliau dicetak di bursa, menjadikan beliau broker saham wanita bumiputra pertama di Malaysia, yang diiktiraf sebagai ahli wanita pertama yang diterima oleh Bursa Malaysia Securities Bhd.

Sangat mencabar untuk mendapatkan lesen pembrokeran saham ketika negara dalam tempoh masih baru lagi mencapai kemerdekaan.

Tambahan pula ketika itu, dunia pelaburan saham merupakan suatu perkara yang asing untuk wanita.

Penubuhan Kenanga

Kemudian, pada awal tahun 70-an, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba (1986-1993) telah memperkenalkan Tengku Noor Zakiah kepada Tuan Haji Kamaruddin Taha.

Mereka kemudiannya mengasaskan K & N Kenanga Sdn. Bhd pada tahun 1973.

Matlamat mereka ketika itu ialah untuk menjadikan Kenanga sebagai sebuah bank pelaburan terkemuka di Malaysia.

Tuan Haji Kamaruddin Taha banyak membantu beliau menguruskan dan mengembangkan K & N Kenanga Sdn. Bhd. Pada masa itu, beliau mempunyai pejabat  yang kecil sahaja, sekitar 20 kakitangan dengan 7 remisier.

Selama bertahun-tahun Tengku Dato’ Paduka Noor Zakiah menguruskan pejabatnya di Bank Negara. Beliau dibantu oleh seorang pelatih muda yang masih baru habis belajar dari Universiti Malaya berada di bawah seliaannya.

Pelatih muda itu kemudiannya menjadi ahli Parlimen wanita paling lama berkhidmat (1978-2013), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (1987-2008), iaitu wanita besi yang mesra dikenali sebagai Rafidah Aziz.

Rafidah Aziz (tengah), semasa awal karier politiknya. Foto oleh ummemory.um.edu.my

Berkat kesabaran dan kegigihan untuk berkembang, hari ini, Kenanga merupakan bank pelaburan milik persendirian terbesar di Malaysia.

 

“Anda mesti gembira dengan pekerjaan anda kerana itulah satu-satunya cara untuk mencapai kecemerlangan.” – Tengku Dato’ Paduka Noor Zakiah Tengku Ismail

Kongsi Melalui:

Related Posts