Menu Close

Secret Recipe: Bocor 5 resepi rahsia untuk berjaya

secret recipe picture

Gambar oleh ifranchisemalaysia.com

“Happy birthday to you…”

“Nah, cepat buat wish dan tiup kek!”

 

Sebut pasal kek je, pasti jenama Secret Recipe terlintas di kepala kita. Pelbagai jenis kek buat kita rambang mata.

Dengan hanya membayangkan Chocolate Indulgence, The Red Velvet dan variasi kek keju pasti membuat kita terliur. Itu belum termasuk lagi dengan pelbagai jenis set menu masakan gabungan (fusion cuisine) lain.

Secret Recipe merupakan jenama kafe yang menyediakan makanan dan kek berkonsepkan kafe santai. Jenama ini diasaskan oleh Tan Sri Dato’ Steven Sim, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan.

Tapi betul ke untuk berjaya memang perlu ada secret recipe yang tersendiri?

 

Jom admin kongsikan resepi rahsia kejayaan Secret Recipe…

Macam mana terfikir nak buat Secret Recipe?

Kafe pertama Secret Recipe diasaskan pada tahun 1997 di SS2, Petaling Jaya, Selangor.

Ketika itu, Tan Sri Dato’ Steven Sim bekerjasama dengan 3 orang anak buahnya untuk merealisasikan impiannya.

Ketiga-tiga orang anak buahnya mempunyai bakat dan kemahiran dalam bidang pembuatan kek.

Nicholas, Desmond dan Micheal Sim menunjukkan Marble Cheesecake mereka yang dianugerahkan Best Overall Cheesecake Award semasa Pertandingan Kek Kuala Lumpur pada tahun 2000.

Pada sekitar tahun 90-an, beliau mendapati bahawa tidak ada kedai makanan yang menyediakan makanan dengan suasana yang menarik pada harga yang berpatutan.

Jika ada suasana menarik sekalipun seperti makan di hotel, harganya pasti sangat mahal. Hanya golongan yang benar-benar berkemampuan sahaja dapat menikmati hidangan dengan konsep elegan.

Tetapi, gerai makanan biasa pula tidak menarik minat beliau kerana dilihat kurang menarik untuk makan secara santai dengan suasana yang selesa.

Dari situ, timbul idea untuk buat sebuah kedai makan berkonsepkan kafe. Pelanggan dapat menikmati hidangan dalam suasana yang santai tetapi masih kekal elegen.

1. Menyelesaikan masalah

Beliau memilih kek sebagai menu utama kafe kerana kek ialah makanan universal.

Walaupun kek lebih popular di negara Barat, tetapi semua orang pasti akan perlukan kek. Contohnya semasa peristiwa penting seperti sambutan hari lahir, majlis perkahwinan, majlis persaraan, jamuan dan lain-lain.

“Kek adalah simbol kegembiraan”

Tidak kira bangsa, tua atau muda, kek pasti menambahkan kemanisan dalam setiap memori kehidupan.

Beliau ingin membantu orang Malaysia ketika itu supaya lebih mudah mendapatkan kek yang berkualiti dan cepat pada harga yang berbaloi.

2. Mempunyai perancangan yang jelas

Tan Sri Dato’ Steven Sim sangat mementingkan pembinaan jenama. Bagi beliau, setiap perkara perlu diperincikan dengan teliti supaya sesebuah jenama mudah dikenali dan diingati.

Antara perkara yang menjadi keutamaan beliau semasa merancang jenama ialah:

  • Gambar logo
  • Warna korporat
  • Uniform pekerja
  • Reka bentuk menu hidangan
  • Hiasan dalaman kafe
  • Standard khidmat pelanggan

3. Tidak mudah berputus asa

Memandangkan ketika itu jenama Secret Recipe masih belum cukup popular, beliau berhempas pulas melakukan pelbagai strategi pemasaran.

Antaranya ialah beliau sendiri  mengedarkan risalah dengan hanya berjalan kaki kepada setiap orang di sekitar kafe.

Dalam flyers tersebut terkandung pemberitahuan tentang promosi percuma kopi bagi setiap pembelian kek.

Beliau tahu, setiap orang pasti suka dengan benda percuma.

Hasilnya, orang sudah mula perasan dengan kehadiran jenama Secret Recipe ketika itu.

4. Tidak takut melakukan inovasi

Secret Recipe bukan sahaja mempunyai cawangan di Malaysia, malah turut difrancaiskan sehingga ke luar negara seperti Indonesia dan Thailand.

Setiap negara mempunyai adat budaya dan citarasa yang berbeza. Namun itu bukan penghalang untuk jenama kafe ini menembusi pasaran.

Sebelum memasuki sesuatu pasaran di negara baru, beliau akan melakukan kajian terperinci mengenai budaya pemakanan negara tersebut.

Inovasi menu akan dilakukan supaya sesuai dengan citarasa masyarakat tempatan.

Contohnya, lebih banyak menu berasaskan mee berbanding nasi untuk pasaran di China. Di Indonesia pula, menu yang lebih pedas banyak diperkenalkan.

5. Berjiwa besar

Sebagai rangkaian kafe terkemuka dan terbesar di Malaysia dengan pensijilan Halal yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Secret Recipe bertekad untuk terus mematuhi standard penyediaan semua kilang makanan dan pemprosesan di restoran mengikut panduan peraturan.

Ini termasuklah mematuhi garis panduan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Sijil Kesihatan Veterinar (VHM).

Aspek penjagaan kualiti makanan dan servis khidmat pelanggan amat dititikberatkan untuk menjaga kepuasan hati pelanggan.

Pelaburan luar

Pada 15 Februari 2014, Fosun International, sebuah syarikat pelaburan China melabur sejumlah $ 30.7 juta dalam Secret Recipe.

Ini menjadikannya sebagai pemegang saham kedua terbesar dalam syarikat.

Pelaburan ini salah satu bukti kepercayaan pelabur terhadap jenama kafe yang berpotensi tinggi untuk dikembangkan dengan lebih jauh.

Setakat ini, jenama francais Secret Recipe mempunyai lebih 440 buah cawangan di seluruh Malaysia dan luar negara termasuklah Singapura, Indonesia, Thailand, China,  Brunei, Kemboja, Myanmmar, Kemboja, Maldives dan Bangladesh.

 

 

 

 

 

 

Kongsi Melalui:

Related Posts