Gambar oleh youtube.com/c/telegraph
“Pening kepala lah, banyak sangat hutang nak kena bayar!”
Jika anda sering mengucapkan ungkapan keramat di atas, artikel tentang Teknik Avalanche ini khas untuk anda.
Secara logiknya, untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik, pasti seseorang itu perlu berhutang. Contohnya, hutang pendidikan, hutang kereta, hutang rumah dan lain-lain.
Tetapi, hutang yang terlampau banyak dan tidak terkawal adalah sangat berbahaya.
Jadi, bagaimana cara untuk mengawal hutang ni?
Pernah dengar tentang Teknik Avalanche?
Teknik Avalanche (Runtuhan Salji) ialah strategi untuk membayar hutang.
Dalam strategi ini, anda akan mengutamakan pembayaran hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi dahulu, barulah akan diikuti dengan kadar faedah tertinggi yang seterusnya.
Teknik ini dinamakan sebagai Avalanche kerana ianya membantu anda untuk keluar daripada timbunan hutang.
Hutang anda akan diruntuhkan sedikit demi sedikit melalui penggurangan caj faedah daripada paling tinggi kepada paling rendah.
Jenis hutang yang sesuai untuk diselesaikan menggunakan teknik Avalanche:
- Kad Kredit
- Pinjaman Peribadi
- Pinjaman Pelajaran
- Pinjaman Kenderaan
Bagaimana cara nak gunakan Teknik Avalanche ni?
Ini adalah 4 langkah mudah yang anda boleh gunakan.
1. Senaraikan hutang anda. Susun kedudukan hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi kepada kadar faedah terendah.
2. Susun bajet bulanan anda. Duit lebihan dari bajet tersebut boleh diperuntukkan untuk menambah pembayaran hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi tadi.
3. Setelah selesai pembayaran hutang kadar faedah tertinggi, gunakan duit peruntukkan tersebut untuk menambah bayaran hutang dengan kadar faedah kedua tertinggi pula.
4. Ulangi langkah 2 – 4 sehingga semua hutang jahat anda selesai.
Adakah teknik ini sesuai untuk saya?
Setiap teknik bergantung kepada keperluan dan keselesaan masing-masing.
Sekiranya anda seorang yang penyabar dan berminat untuk menyimpan duit lebihan setelah selesai membayar kadar faedah yang tinggi, teknik ini adalah sesuai untuk anda.